Adakah anda menghalau anak anda dari dapur ketika memasak? Jangan! Sebenarnya, dia dapat mempelajari banyak perkara di dapur. Lagipun, anda dan Adik tentu seronok memasak bersama!
Adik dapat mengenali nama makanan, alatan serta istilah memasak. Pelbagai warna, rasa, tekstur serta aroma makanan menjadi santapan derianya. Adik menyaksikan keajaiban sains apabila agar-agar melarut dalam air mendidih dan memejal semula ketika disejukkan. Adik akan tertarik dengan kesan haba terhadap makanan – daging ikan memutih; udang melengkung dan menjadi kemerahan dan nasi pula berubah menjadi lembut dan gebu.
Matematik digunakan apabila Adik mengira bawang merah dan bahan lain untuk masakan kari anda. Pecahan diperkenalkan ketika dia menyukat ramuan manakala konsep masa difahami apabila Adik sabar menunggu biskut dibakar. ‘Bentuk dan saiz’ lebih seronok dipelajari dengan mennggunakan alatan dapur seperti pinggan, mangkuk dan bekas lain.
Adik juga dapat memperolehi kemahiran fizikal seperti menguli, menorak, mengacau dan memukul. Koordinasi dan daya imbangan turut diuji ketika dia menuang minuman ataupun menatang dulang.
Memasak juga memupuk kreativiti anak anda. Biar Adik menghias hidangan ataupun kek. Dari segi perkembangan sosial, dia menjadi lebih sabar dan berkerjasama. Dia juga berlatih meluahkan pendapat apabila memberi ulasan terhadap masakan. Akhir sekali, apabila Adik berjaya menghasilkan hidangan tersendiri, dia akan berasa bangga dengan pencapaiannya. Ini menyerlahkan perkembangan emosinya.
Namun, apabila adik-adik membantu di dapur, beberapa peraturan mesti dipatuhi demi keselamatan:
• Sentiasa awasi anak anda agar tidak ditimpa bahaya.
• Pilih tugas yang sesuai dengan usia dan kebolehan. Adik-adik tadika boleh membasuh dan mengupas sayuran manakala kanak-kanak yang lebih tua boleh dibimbing memasak makanan ringkas seperti mi MAGGI® atau menggoreng telur.
• Ajar anak anda tentang bahaya air dan minyak panas, alat elektrik, dapur gas dan alatan tajam seperti pisau.
• Jangan lari di dapur.
Selamat memasak!