Connect
with us



Sama Tapi Tak Serupa - Ketupat, Lemang & Nasi Impit

Posted on 14.07.2015

Bila Hari Raya, makanan Melayu yang mana jadi pujaan? Mestilah ketupat. Dihidangkan dengan rendang dan kuah kacang yang sungguh lazat. Raya memang tak meriah tanpa ketupat. Rendang pun boleh dimakan bersama nasi impit dan lontong. Eh lain ke? Memang berbeza.

1. KETUPAT Ada dua jenis ketupat – ketupat nasi (dibuat daripada beras biasa) dan ketupat daun palas (dibuat daripada beras pulut). Mula-mula, daun kelapa perlulah dianyam terlebih dahulu untuk menyediakan sarung ketupat. Kemudian masukkan beras melalui pembukaan yang kecil. Selepas sarung ketupat diisi, ianya ditutup dan direbus dalam air hingga masak. Seni menganyam ketupat selalunya diturunkan dari generasi terdahulu. Ketupat ini biasanya dimakan dengan rendang, kuah kacang dan satay.

2. LEMANG Lemang pula dihasilkan daripada beras pulut dan santan yang dimasak dalam buluh. Kepakaran yang tinggi diperlukan dalam penyediaan lemang kerana sukatan beras pulut yang diisi dalam buluh perlulah betul agar ianya tidak melimpah ketika dimasak dan mula mengembang. Ketika lemang dibakar selama 2 jam di atas api, ianya perlu kerap dipusingkan agar isinya masak sekata. Bila dah masak, buluh akan terbelah dan sedia dihidang dengan rendang serta serunding.

3. NASI IMPIT Nasi impit merupakan cara mudah menyediakan ketupat. Terutama sekali di zaman serba moden di mana kepakaran menganyam ketupat tidak diwarisi. Beras dimasak dengan garam dan daun pandan dalam periuk nasi. Sebaik sahaja nasi masak, hancurkan dengan pelecek kentang atau garpu, pindahkan ke bekas yang berbentuk segi empat tepat. Letakkan kuali yang berat di atas nasi yang telah dilenyek supaya ia menjadi padat. Biarkan semalamam. Potong dadu sebelum dihidangkan

Kegemaran Kami dan Banyak Lagi

LIHAT SELANJUTNYA